27 Nov 2024 Assalamualaikum. Lama sudah makcik tak berkongsi cerita memancing Pak Akob dan hasil pancingannya. Tiba-tiba hari ni, tergerak hati nak bercerita. Rasanya kali terakhir makcik kemas kini tentang hasil pancingannya ialah pada tahun 2014. Bukanlah makcik tak nak berkongsi, cuma sejak 2014, Pak Akob memang kurang aktif memancing.
Hari Sabtu, Pak Akob beritahu Makcik, hari Ahad dia nak bawa bos dan kawan bos pergi memancing . Kalau makcik tak silap dengar, mereka keluar memancing berempat, Pak akob,kawan pak akob, bos dengan kawan bos. Hasil memancing hari Ahad mereka dapat ikan jenahak, talang dan aruan tasik
Pada tengah hari Isnin, Pak Akob menyiang dan memotong ikan aruan tasik serta ikan talang. Selepas selesai, dia balik ke rumah dan menyimpan semua ikan itu ke dalam peti sejuk beku.
Makcik sampai rumah sekitar pukul 7.30 malam. Bila Makcik buka peti sejuk beku, ikan aruan tasik masih belum keras sepenuhnya. Jadi, Makcik keluarkan ikan itu dan pindahkan ke peti sejuk bawah untuk memudahkan urusan memasak esok pagi tanpa perlu nyah beku.
Resipi Kari Ikan Aruan Tasik Tanpa Santan
Ikan aruan tasik – basuh bersih dan gaul dengan garam kunyit
Terung hijau thai– belah dua
Pes asam jawa Adabi
Daun kari
Halba campur
2 bungkus kecil serbuk kari ikan Adabi – bancuh dengan air secukupnya
Garam dan perasa secukupnya
Bahan hiris:
Bawang merah
Halia
Bawang putih
Cara-cara:
1. Panaskan minyak, kemudian tumis halba campur, daun kari, dan bahan hiris hingga naik bau wangi.
2. Masukkan serbuk kari yang telah dibancuh dengan air, dan masak sehingga pecah minyak. Tambahkan garam untuk perasa.
3. Setelah rempah pecah minyak, masukkan pes asam jawa diikuti dengan air secukupnya.
4. Biarkan kuah mendidih. Apabila mendidih, masukkan terung dan masak hingga separuh empuk.
5. Masukkan ikan aruan tasik dan serbuk perasa. Masak selama kira-kira 6 minit atau sehingga ikan masak sepenuhnya.
6. Tutup api dan angkat. Kari ikan aruan tasik siap untuk dihidangkan.
Selamat mencuba!
No comments:
Post a Comment